Tuesday, April 26, 2011

MCA gesa rakyat pulaukan Utusan Malaysia

MCA menggesa rakyat Malaysia supaya memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mecadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' diutamakan. Parti itu mendakwa cadangan itu adalah untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata konsep 1Melayu, 1Bumi yang diilhamkan oleh akhbar milik Umno itu bertujuan menghukum masyarakat Cina kerana melaksanakan hak demokrasi mereka membuat pilihan semasa pilihan raya.

Dalam kenyataan medianya dalam bahasa Mandarin, lewat petang semalam, Loh berkata semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras perlu memulaukan alhbar berkenaan dan mempercepatkan lagi edaran Utusan Malaysia yang terus menjunam.

"Pendirian akhbar itu mempersendakan konsep pentadbiran Najib berhubung 1Malaysia dan cuba menyemai benih jahat di minda orang ramai. Konsep lapuk itu pasti dibidas oleh masyarakat antarabangsa.

"Adakah Utusan Malaysia mahu meneladani Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (yang satu ketika dulu) mengamalkan dasar apartheid dan pengasingan kaum?” soalnya.

Loh berkata Utusan Malaysia wajar diingatkan bahawa BN terdiri daripada 13 parti komponen yang mewakili pelbagai masyarakat berbilang kaum, justeru '1Melayu, 1Bumi' tidak baik bagi perikatan itu.

Paling penting katanya jika akhbar Melayu itu mahu dihormati setiap rakyat, ia harus komited terhadap konsep 1Malaysia dan membantu membina jambatan di kalangan rakyat pelbagai bangsa.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mencabar presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya mengenakan tekanan ke atas Umno supaya 'menegur' Utusan Malaysia berhubung artikel itu.

"Lakukannya Chua! Bagi tahu Umno supaya arahkan akhbarnya untuk menarik balik cadangan penubuhan '1Melayu, 1Bumi' ataupun MCA sepatutnya berundur dari BN,” kata Lim (kiri) dalam satu kenyataan.
Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit tiga hari lalu, berkata DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Zaini berkata pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi"

Thursday, April 21, 2011

17 tak jadi pergi umrah

PUTRAJAYA: “Mereka tidak sepatutnya menipu kami. Pulangkan semula wang kami,” kata Robiah Mat Darus, 49, yang menjadi mangsa sebuah agensi pelancongan selepas membayar sejumlah wang untuk menunaikan umrah.

Dia mewakili sekumpulan wanita yang terdiri daripada 17 orang dari Kampung Kuala Sanglang, Kedah, kebanyakannya ibu tunggal mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan terbabit berpejabat di Kajang, Selangor.


Robiah yang juga ibu tunggal berkata, setiap seorang membayar RM2,500 kepada agensi pelancongan itu pada Jun tahun lalu, namun pihak terbabit gagal membawa mereka menunaikan ibadat berkenaan.

Menurutnya, agensi itu menangguhkan perjalanan sebanyak tiga kali sehingga Disember tahun lalu, malah sehingga kini masih gagal menunaikan janji untuk membawa mereka menunaikan umrah.


“Kami diminta membayar RM2,500 atau RM3,500 setiap seorang manakala kos selebihnya akan ditanggung sebuah syarikat korporat yang ingin membiayai kos terbabit sebagai sebahagian daripada pembayaran zakat.


“Pada mulanya kami dimaklumkan akan berangkat pada Jun tahun lalu, namun beberapa hari sebelum berlepas kami dimaklumkan penerbangan ditangguhkan pada September.

“Tetapi, apabila tiba tarikh yang ditetapkan, sekali lagi agensi itu memaklumkan penerbangan ditangguhkan kerana tidak mendapat visa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.


Mereka sepakat memfailkan tuntutan kepada TTPM dan menghadiri perbicaraan untuk mendapatkan kembali wang yang sudah dibayar kepada agensi pelancongan berkenaan.

Selain mangsa daripada kumpulan berkenaan, beberapa individu lain turut datang ke sesi perbicaraan itu, namun tiada seorang pun wakil daripada syarikat terbabit.


Robiah berkata, semua mangsa bukan di kalangan orang senang, malah memang menaruh harapan tinggi untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


Malah, katanya, mangsa rata-rata bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap, malah datang menghadiri perbicaraan di TTPM Putrajaya dengan menaiki bas, semata-mata untuk mendapatkan kembali wang yang dibayar.


“Mereka sangat kecewa apabila impian berkecai kerana ditipu pihak tidak bertanggungjawab.


“Jadi, kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap agensi pelancongan ini yang banyak kali menipu orang ramai. “Kami tidak mahu ada lagi yang menjadi mangsa kerana kami dimaklumkan ramai yang sudah menjadi mangsa sebelum ini,” katanya.


Seorang pemuda, Mohd Ridzwan Dahari, 22, berkata dia juga menjadi mangsa penipuan agensi terbabit dan semalam adalah kali ketiga dia hadir ke TTPM kerana sebelum ini kes terpaksa ditunda beberapa kali, disebabkan wakil agensi pelancongan itu gagal hadir.


“Walaupun sudah beberapa kali perintah dikeluarkan, agensi itu masih gagal menghadirkan diri. Ini menyukarkan saya menuntut semula hak saya, malah merugikan masa saya yang terpaksa mengambil cuti.


“Saya juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi ini kerana dia sudah menipu ramai orang. Sekiranya tiada tindakan, saya percaya ramai lagi yang akan menjadi mangsa,” katanya.

-- H.Metro

Akaun tinggal RM10 saja

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah kerugian RM2,190.62 apabila ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) selepas menerima panggilan telefon mendakwa dia membuat transaksi di luar negara.

Mangsa berusia 41 tahun yang berasal dari Taman Midah, Cheras di sini, berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa pegawai Maybank Finance kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 12 April lalu berhubung penggunaan kad kreditnya di Jakarta, Indonesia.


Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa kad kreditnya digunakan sebanyak RM9,350 di negara itu dan apabila dia menafikannya, lelaki itu memaklumkan pihaknya mempunyai rekod transaksi serta memintanya menghubungi Bank Negara di talian 03 27826998 sambungan 2017.

“Apabila saya menghubungi nombor itu, seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Helen menjawab telefon dan dia mengesahkan penggunaan kad kredit saya di luar negara.


“Saya yang tertipu dengan helah sindiket itu kemudian mengikut setiap arahan mereka termasuk pergi ke mesin pengeluaran automatik (ATM) untuk menukar kata laluan akaun saya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Beliau berkata, ketika berada di mesin ATM, dia diminta menukar kata laluannya ke nombor kad pengenalannya sendiri sebelum diarah menghentikan sebarang transaksi dan dilarang memaklumkan kejadian berkenan kepada sesiapa pun termasuk polis bagi tempoh tiga hari kerana akan mengganggu siasatan BNM.

“Namun, saya yang bimbang dan sangsi dengan pertolongan Helen bertindak memaklumkan kejadian berkenaan kepada suami dan apabila memeriksa akaun saya seketika kemudian, kami mendapati hanya RM10 berbaki dalam akaun saya manakala jumlah RM2,190.62 sudah lesap.


“Kami cuba menghubungi nombor Helen dan lelaki yang mendakwa mewakili syarikat kewangan tempatan itu, tetapi gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- H.Metro

Gesaan batalkan cuti Deepavali, Wesak dibidas

Gesaan pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor agar cuti umum bagi Deepavali dan Hari Wesak dibatalkan dan dijadikan hari bekerja menimbulkan kemarahan masyarakat India yang menuntut kenyataan itu ditarik balik dan permohonan maaf dibuat.

Tan Sri William Cheng dilaporkan berkata 'terlalu banyak' bilangan cuti umum adalah tidak baik bagi dunia perniagaan.

Katanya, kerajaan perlu menimbangkan untuk membatalkan Deepavali dan Hari Wesak kerana hanya golongan 'minoriti' yang meraikan upcara berkenaan.

DAP dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka terkejut dengan pendirian seumpama itu dan melahirkan bantahan keras terhadap cadangan tersebut.

Naib pengerusinya, M Kulasegaran berkata penganut agama Hindu yang menyambut Deepavali dan peganut agama Buddha yang meraikan Hari Wesak bukan penduduk minoriti.

“Kedua-dua perayaan itu disambut oleh jutaan rakyat di negara ini,” kata Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat.

Katanya, menjadi hak masyarakat perniagaan dan majikan untuk menjadikan produktiviti sebagai keutamaan, namun golongan itu tidak seharusnya 'merompak' penganut agama Hindu dan Buddha daripada cuti umum mereka.

“Malah, tidak ada sesiapapun yang sepatutnya merompak mana-mana bangsa atau kumpulan daripada cuti umum yang telah digazetkan,” kata Kulasegaran sambil menambah majikan harus mencari jalan lain bagi meningkatkan produktiviti dan bukannya menarik balik cuti umum pekerja.

“Selain itu, cuti umum mengalakkan pertumbuhan ekonomi kerana lebih ramai yang akan melancong dan membanjiri pusat membeli-belah,” katanya.

Malaysiakini

Tuesday, April 19, 2011

3 ditahan kitar al-Quran jadi tisu tandas

KABUL: Tiga termasuk pengarah syarikat percetakan ditahan selepas pihak berkuasa menyiasat dakwaan kilang pengeluar kertas di Afghanistan kitar semula al-Quran menjadi tisu tandas, kata pejabat peguam negara semalam.

Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan membaling batu ke arah kilang di pinggir Kabul menyebabkan kilang itu rosak. Salinan al-Quran ditemui dalam kilang, kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai.
“Polis dan pejabat peguam negara bekerjasama menyiasat dakwaan menghina kitab suci dalam kilang itu,” kata jurucakap pejabat peguam negara, Amanullah Iman. “Tiga ditahan termasuk pengarah syarikat dan kami mengambil berat isu serius ini,” katanya.

Pembakaran salinan Quran oleh mubaligh Kristian di Amerika Syarikat turut mencetuskan protes di seluruh Afghanistan menyebabkan 24 maut termasuk tujuh kakitangan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu di perkarangan pejabat di utara bandar Mazar-i-Sharif. – AFP

Raul, KD boleh direjam: Ulama

JAKARTA: Pengakuan penyanyi Krisdayanti (KD) yang mengaku dirinya hamil empat bulan mendapat kecaman daripada ulama. KD baru menikah pada 20 Mac lalu dengan Raul Lemos tetapi sudah hamil empat bulan.

Pemimpin Front Pembela Islam (FPI) DKI Jakarta, Habib Selon berkata, perbuatan KD itu lebih buruk daripada mendedahkan aurat dan pergaulan bebas.


“Dalam Islam ada dua hukum. Pertama, jika dia hamil empat bulan sebelum bernikah, maka anaknya dipanggil anak zina dan ibu bapanya boleh direjam,” ujar Habib ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, jika kehamilan itu sudah berusia lebih daripada enam bulan, maka anak yang bakal lahir itu dikatakan anak haram. “Jadi, sekiranya dia membuat pengakuan seperti itu, maka nilailah sendiri,” tambahnya yang menentang keras penzinaan dan pornografi.


Sementera itu, KD mengaku dia sudah hamil empat bulan dalam sebuah tabloid wanita. Pengakuan itu dibuat kerana dia tidak mahu kehamilannya akan mendatangkan masalah kelak. Bekas suami KD, Anang Hermansyah tidak mahu memberi komen ketika diajukan isu itu kepadanya.


“Soal terkejut atau tidak, rasanya tidak wajar untuk saya memberi komen apa-apa,” kata Anang ketika dihubungi.

Penyanyi yang bercerai dengan KD pada November 2009 memberitahu dia mendapat tahu mengenai berita itu daripada media. Anang menambah dia turut berbahagia dengan kehamilan bekas isterinya itu.


“Soal anak itu khabar yang menggembirakan dan kehamilan itu kan baik,” katanya lagi. KD juga dikatakan tidak menghiraukan tanggapan masyarakat mengenai isu kehamilannya. Menurutnya, lebih baik dia mengakui hal itu daripada timbul cerita yang lebih buruk tentang dirinya kelak. KD dan Raul menikah 20 Mac lalu dan mengadakan resepsi perkahwinan mereka di Hotel Mulia, Jakarta Selatan lima hari kemudian. - Detik

Gadis Turki Islam pertama berbogel untuk Playboy

BERLIN - Selama ini, seorang gadis berusia 25 tahun berketurunan Turki yang menetap di sini, Sila Sahin menjadi contoh teladan tentang kelakuan baik wanita Islam moden dalam masyarakat berbilang budaya di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang merupakan seorang aktres yang membintangi drama telenovela Jerman, Bad Times disenangi ramai peminatnya dan membuatkan keluarganya berasa bangga.

Namun, langkah terbarunya mengejutkan para peminatnya dan turut menyebabkan mereka yang rapat dengannya naik berang.

Beraksi berahi untuk kulit majalah Playboy Jerman dengan satu payu daranya terdedah, Sila sengaja mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada keluarganya yang mengamalkan cara hidup Islam.

"Saya berbogel untuk Playboy kerana saya mahu bebas," kata Sila.

"Gambar-gambar ini merupakan bukti kebebasan saya daripada semua halangan yang terpaksa diikuti semasa zaman kanak-kanak saya," tambahnya.

Keluarganya, bagaimanapun, tidak dapat menerima perbuatan Sila dengan ibunya bertindak memutuskan perhubungan dengan aktres berkenaan.

"Ibu saya masih marah. Ia lebih sukar dengan datuk dan nenek saya, serta ibu dan bapa saudara saya," kata wanita jelita itu di laman web siri televisyen berkenaan.

Dia bagaimanapun, berjaya bercakap dengan ayahnya yang juga seorang pelakon.

Ayah Sila bimbang anak gadisnya akan dibenci bukan sahaja oleh masyarakat Turki di Jerman, tetapi oleh seluruh umat Islam akibat tindakannya.

Sila berkata, dia berbogel untuk majalah Playboy bagi menyeru wanita-wanita Islam yang selama ini hidup terkongkong dan tidak dibenarkan membuat pilihan, termasuk dalam menentukan calon suami serta keperawanan mereka, supaya bangkit untuk bersuara dan bertindak.

Tindakan Sila menjadikannya sebagai wanita Turki pertama yang berbogel untuk Playboy. Dia bagaimanapun kesal dengan tindakan keluarganya yang menyisihkan dirinya kerana isu tersebut.

Dalam satu wawancara, Sila merayu keluarganya supaya memahami punca dia membuat keputusan untuk bergambar tanpa seurat benang itu.

Aktres berkenaan turut merayu keluarganya supaya memaafkan dirinya.

"Saya berharap mereka (keluarganya) dapat memaafkan saya," kata Sila.

"Tolonglah terima saya semula," tambahnya. - Agensi

'Kajol' sanggup mati pertahan imej lembut

KOTA BHARU: Penyanyi dikir barat moden yang terkenal di Kelantan, Mohd Hafiz Jafri, 24, atau lebih dikenali sebagai 'Kajol', tetap mempertahankan imej berperwatakan 'lembut' walaupun ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) kerana berpakaian tidak senonoh di sebuah ekspo, Jumaat lalu.

Malah Kajol sanggup mati daripada berubah menjadi lelaki sejati kerana beranggapan naluri wanita sudah sebati dengannya sejak beliau kecil lagi.
Click Here
“Saya tidak mampu untuk berubah dan sampai bila-bila saya akan terus begini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
‘Kajol’ ditahan penguat kuasa JHEAIK Jajahan Tanah Merah kerana kesalahan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ketika persembahan di Tanah Merah, kira-kira jam 10 malam dalam Ops Insaf.

‘Kajol’ turut meluahkan kekecewaan terhadap tohmahan dan sindiran masyarakat disebabkan penampilannya yang memakai pakaian wanita terutama selepas kisahnya ditahan mendapat liputan meluas akhbar.

"Saya manusia biasa dan tidak mahu terus terseksa. Saya sedar, saya seperti diharamkan di Kelantan dan daripada terus ditahan, lebih baik saya berhenti daripada membuat persembahan di Kelantan.

“Justeru, kepada semua peminat yang memberi sokongan setiap kali saya membuat persembahan di Kelantan, saya ucapkan ribuan terima kasih. Kita tidak akan berjumpa lagi di Kelantan," katanya.
‘Kajol’ dari suku Temiar Orang Asli Kuala Betis, Gua Musang, berkata, keputusannya itu tidak menjejaskan karier kerana akan terus menghasilkan album dan membuat persembahan di luar Kelantan.

“Sudah 11 tahun saya menjadi penyanyi dan seingat saya, sudah 25 album saya hasilkan. Persembahan pula tidak terkira kerana setiap bulan jadual persembahan saya memang padat," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia sudah menjalani pembedahan penukaran jantina, ‘Kajol’ enggan mengulas.

"Minta maaf, persoalan itu tidak dapat saya jawab kerana itu hal peribadi dan saya tidak akan dedahkan kepada sesiapa," katanya.

Shuib: 'Tidak adil' jika didakwa sebar video

Salah seorang daripada trio 'Datuk T', Datuk Shuib Lazim berkata, mereka tidak berniat untuk menyebarkan video lucah yang didakwa melibatkan seorang tokoh utama pembangkang.
Oleh sebab itu, Shuib menyifatkan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas mereka sebagai "tidak adil" kerana mereka tidak sepatutnya didakwa atas tuduhan berkenaan.
"Kita rasa kita bukan dedah kepada orang ramai, kita cuma tunjuk kepada pemberita. Kalau betul kita nak sebarkan, kita boleh buat 10,000 salinan. Itu barulah boleh kata sebar," kata Shuib lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu kenyataan polis semalam yang menyatakan berkata trio berkenaan mungkin dikenakan tindakan kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks tersebut.

Monday, April 18, 2011

KIMMA setia BN walaupun cuba disogok pembangkang

2011/04/18
BATU PAHAT: Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) tetap setia bersama Barisan Nasional (BN) walaupun parti itu pernah ditawarkan wang berjuta ringgit, dijanjikan jawatan penting dalam kerajaan pembangkang serta pelbagai insentif dan projek jika menyertai pembangkang, kata Presidennya, Datuk Syed Ibrahim Kader.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai tawaran lumayan berkenaan tidak mampu menggugat kesetiaan KIMMA terhadap BN kerana masyarakat India Muslim negara ini tidak sanggup menggadai maruah semata-mata mahu mengejar imbuhan, pangkat serta kesenangan sementara.
Malah katanya, seorang pemimpin pembangkang pernah menghubunginya secara peribadi dan menawarkan imbuhan sebanyak RM55 juta sekiranya beliau dan ahli KIMMA bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang.

“Dia (pemimpin pembangkang) telefon saya dan memberitahu... Datuk, saya akan beri RM5 juta sekiranya anda bersetuju sertai kami hari ini. Pagi esok saya akan masukkan lagi dalam akaun...jika selepas itu anda membawa bersama orang-orang anda (ahli KIMMA), saya akan masukkan RM50 juta lagi dalam akaun anda. Itu adalah janji dibuat pemimpin pembangkang berkenaan kepada saya beberapa tahun lalu.

“Malah, ketua KIMMA di negeri yang ditawan pembangkang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang turut ditawarkan pelbagai imbuhan termasuk projek dan jawatan penting dalam kerajaan negeri supaya menyertai mereka.

“Walaupun ahli KIMMA termasuk saya pernah dihujani tawaran lumayan supaya menyertai pembangkang, tetapi maruah masyarakat India Muslim negara ini bukan semurah itu... maruah kami bukan untuk dijual beli.

“KIMMA tidak akan terpedaya mahupun termakan pelbagai janji apatah lagi kami sudah menyokong BN mahupun UMNO sejak dulu lagi. Kami lebih mengenali dan tahu hati budi BN dan UMNO.

“Walaupun pernah berasa kecil hati kerana kesetiaan kami kurang mendapat tempat dan perhatian sebelum ini, namun di bawah pentadbiran Najib Razak dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin, suara KIMMA serta masyarakat India Muslim kini sudah mula didengari dan mendapat sokongan padu kerajaan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama ahli Batu Pahat dan Muar, di sini, semalam.

Polis: Trio 'Datuk T' mungkin didakwa

Trio Datuk T mungkin dikenakan tindakan kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks melibatkan pelaku yang dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata polis.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kemungkinan itu wujud berikutan siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah itu menjurus kepada mereka, pihak yang menayangkan video.

Beliau berkata kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara Khamis ini.

"Ada kemungkinan mereka akan didakwa mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak penayang."
"Namun bukan polis yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat Peguam Negara. Kami akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya selesai," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemaskini dan dilengkapkan dalam siasatan itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.
"Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas) itu pada Khamis ini...sementara itu kami tunggu respon daripada pihak yang menyediakan dua perkara itu.
"Dua perkara ini tidak boleh didedahkan dahulu ketika ini kerana ia lebih kepada pendakwaan dan menganggu tugas pejabat Peguam Negara," katanya.
Ditanya mengenai sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata: "Kami (polis) tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka dan mengambil keterangan.

"Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang-undang terhadap si pelaku," katanya.

Pada 21 Mac lepas, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai "Datuk T" di Carcosa Seri Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan.
- Bernama

Sunday, April 17, 2011

Cikgu Gila Gila


BOTA: Siapa sangka, daripada hanya guru biasa di sekolah luar bandar, seorang wanita tempatan meraih populariti lebih sejuta pengunjung laman web sosial dari seluruh dunia melalui klip video miming ‘gila-gila’ yang diciptanya.

Terbaru, lakonan nyanyian miming bersama solekan ekspresi muka melalui lagu ‘Kalau Berpacaran’ nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali berjaya membuatkan nama Cikgu Syida semakin diminati di kalangan pelayar Internet.


Cikgu Syida atau nama sebenarnya Roshida Abd Aziz, 30-an, berkata minatnya bermula dengan niat suka-suka berbekalkan kamera dan komputer yang dibeli 10 tahun lalu.

“Semuanya bermula apabila timbul hasrat membuat miming lagu ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Rahimah Rahim pada Ramadan tahun lalu sebelum klip video itu dimuat turun melalui laman web Youtube.


“Namun percubaan itu dibalas dengan kata-kata cerca dan hinaan. Lebih teruk, ada yang menuduh saya gila dan sakit mental kerana menghasilkan klip video itu,” kata guru Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang di Bota Kiri, di sini, ketika ditemui Metro Ahad.


Menurutnya, kata-kata kesat terbabit bukan hanya dilontarkan oleh kenalan dan rakan, malah turut dikirim puluhan pelayar di Internet.


“Namun semua itu tidak melemahkan semangat saya untuk memberi dan mencari hiburan tersendiri di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Internet,” kata guru Bahasa Inggeris itu.


Menceritakan pengalaman klip video pertamanya, dia mendakwa pernah merah muka dan menahan malu apabila rakaman itu dimuat turun daripada Internet dan ditayangkan ketika majlis alumni sekolah, hari raya lalu.


“Pada masa itu saya fikir nak sorok muka bawah meja kerana terlalu malu dan bimbang dikutuk rakan.


“Namun ia bertukar gembira apabila rakan memberi tepukan gemuruh dan kata-kata perangsang untuk meneruskan hobi itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Parit, di sini.


Anak kedua daripada lima beradik itu juga berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan minatnya kerana sudah ‘masak’ dan faham perangai gila-gilanya.


“Rakan sejawat turut faham minat dan kecenderungan saya yang gemar mencuba dan mencari kelainan. Saya anggap ia satu hiburan bagi membuat orang tertarik dan tersenyum,” katanya.


Dia yang juga anak perempuan tunggal pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, berkata membesar dalam lingkungan adik beradik lelaki menyebabkan jiwanya lebih kental dan mampu menyerap tekanan.


“Saya seronok melihat diri sendiri beraksi dengan pelbagai gaya muka, ditambah dengan solekan dan alatan tambahan seperti songkok dan baju Melayu yang dipinjam daripada adik-beradik lain.


“Niat saya bukan untuk menarik publisiti murahan tapi lebih kepada memberi hiburan kepada orang ramai melalui kelainan tersendiri,” katanya.


Ternyata percubaan luar biasa itu melonjakkan namanya sebagai ‘artis’ baru paling terkenal di Internet dan berjaya menarik pengunjung dalam dan luar negara.


“Yang saya tahu, sejuta pelayar Internet melihat klip video saya yang mula dimuat turun empat bulan lalu.


“Malah, klip video miming saya itu turut menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan termasuk dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia melalui ‘Fan Page’ (laman peminat) yang dibina dua bulan lalu,” katanya.



Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza menjemputnya sebagai tetamu khas dalam program bersama syarikat penyiaran Astro baru-baru ini.


Malah, rezekinya juga melimpah ruah apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah telemovie selain menjadi pelakon iklan.


“Saya juga ditawarkan menulis di dalam sebuah majalah humor. Walaupun begitu, kerjaya pendidik adalah keutamaan dan sebati dalam jiwa saya.


“Walau dianggap popular sekalipun, saya tetap akan ke sekolah dan menabur bakti sebagai guru kepada anak bangsa,” katanya.

Friday, April 15, 2011

Pasangan Berkahwin Bogel

FELDKIRCHEN, Austria - Satu pasangan di sini berkahwin dalam keadaan bogel manakala para tetamu lain memakai pakaian, lapor sebuah akhbar semalam.

Pasangan itu, Melanie Schachner, 26, dan Rene Schachner memilih untuk berbogel bagi menjadikan majlis perkahwinan mereka sebagai sesuatu yang boleh diingati buat selama-lamanya.

Melanie berkata: "Kami tidak malu mengenai tubuh kami dan kami mahu melakukan sesuatu yang berlainan. Ia pastinya akan menyelamatkan kos pakaian perkahwinan kami."

Dalam majlis itu, seorang pendaftar perkahwinan yang memakai pakaian menyaksikan pasangan berkenaan membaca ikrar perkahwinan.- Agensi

Wednesday, April 13, 2011

Ulat Bulu Serang Bali


DENPASAR - Sejumlah ulat bulu yang boleh menyebabkan kegatalan pada kulit menyerang Pulau Bali, Indonesia, kata seorang pegawai semalam.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pelancong yang terkena serangan ulat tersebut.

Ketua sebuah agensi pertanian di Bali, Made Putra Suryawan berkata, ulat bulu itu pada mulanya menyerang sebuah kampung pada Jumaat lalu dan ia kini menyerang enam buah daerah termasuk bandar Denpasar.

"Situasi kini berada dalam keadaan terkawal. Sejak Jumaat lalu, para pekerja telah menyembur ubat racun serangga dan membakar sampah di kawasan yang terjejas bagi menghalang penyebaran serangan haiwan itu," katanya.

Ribuan ulat bulu dilaporkan menyerang sebahagian wilayah di Pulau Jawa sejak dua minggu lalu.

Haiwan itu didapati menyerang ladang buah-buahan dan menceroboh kawasan penduduk. - AFP

Pelajar pintar UPSR nikah di Thailand

Pelajar pintar UPSR nikah di Thailand
April 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 April — Pelajar pintar yang pernah menghilangkan diri, Halimaton Abdul Rashid, 16, dikatakan telah bernikah dengan teman lelakinya, Adam di selatan Thailand minggu lalu.

Perkembangan terbaru itu dilaporkan merunsingkan keluarga terutama ibunya, Normah Abdul Mutalib, 45, yang terkejut dengan tindakan Halimaton.

“Dia telah bernikah dengan pemuda tersebut di selatan Thailand minggu lalu dan kini tinggal bersama di Langkawi,” kata Normah dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Normah, yang ditemui di Baling berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pelajar tingkatan empat tersebut ketika menghubungi keluarganya tiga hari lalu selepas dia menghilangkan diri buat kali kedua baru-baru ini.

Pada 22 Mac tahun lalu, Halimaton yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, menyebabkan kegemparan apabila didapati hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani sebelum ditemui tinggal bersama teman lelakinya di Langkawi.

Selepas dipujuk, Halimaton berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarga dan diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Difahamkan keluarga Halimaton telah menemui anak dan 'menantunya' hasil kerjasama Umno Baling bagi menyelesaikan masalah yang berlaku antara mereka.

Sekolah terima notis awalkan peperiksaan, petanda PRU-13?

KUALA LUMPUR, 11 April — Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan — dipercayai sebahagian persiapan menghadapi hari pengundian kelak.

Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, satu notis kerajaan persekutuan telah diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.

Penganalisis dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.

Pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.

“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.

Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.

Pengundian pilihan raya negeri Sarawak diadakan 16 April ini.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui BN itu akan berjaya mempertahankan Sarawak namun ramai yang percaya kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri BN akan berkurangan.

Kini, BN Sarawak yang dipimpin Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.

Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.

Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.

Arab Saudi Mahu Bina Bangunan Setinggi 1.6 km

JEDDAH, Saudi Arabia - Keluarga diraja Arab Saudi kelmarin mendedahkan pelan membina bangunan paling tinggi di dunia, Kingdom Tower dengan kos AS$19.52 bilion (RM59.11 bilion) di sini, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Bangunan itu setinggi 1.6 kilometer yang akan mengandungi hotel, apartmen mewah dan sebuah pusat beli-belah apabila ia siap dibina.

Ia dua kali ganda lebih tinggi dari bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang kini menjadi bangunan paling tinggi di dunia.

Masa untuk tiba di menara bangunan itu ialah 12 minit dengan menggunakan lif dan mempunyai 275 tingkat.

Projek pembinaan itu dibiayai syarikat Kingdom Holdings Company (KHC) milik keluarga diraja Arab Saudi yang dipengerusikan Putera Alwaleed Bin Talal.

Syarikat Emaar yang membina Burj Khalifa difahamkan memenangi kontrak untuk mendirikan bangunan berkenaan.- Agensi

Mahkamah Batal Saman Fitnah Ummi Hafilda

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman fitnah dengan tuntutan ganti rugi RM100 juta yang difailkan ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali terhadap bekas rakan perniagaannya dan portal berita Malaysiakini.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu dalam kamar berikutan peguam kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah.
Saman itu yang difailkan pada 17 Mac lalu, dijadualkan untuk sebutan hari ini.
Ummi Hafilda, 43, memfailkan saman itu melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan di kaunter Mahkamah Sivil dengan menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd yang menyelenggarakan laman berita Malaysiakini sebagai defendan kedua.

Ummi Hafilda dalam saman pemula itu mendakwa defendan dalam satu temu ramah di lobi Bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi.

Beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Nor Azman adalah semata-mata untuk memalukannya dan bermotifkan niat jahat.

Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terbabit dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Beliau mendakwa defendan kedua pula telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah tersebut di web portal www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

Ummi Hafilda juga turut memohon ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Tuesday, April 12, 2011

Bergaduh Kerana Kura-Kura

KUALA TERENGGANU - Gara-gara bergaduh siapa patut jaga seekor kura-kura, seorang anggota polis dan adiknya cedera dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Permaisuri, Setiu di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.30 malam itu dikatakan berlaku apabila adik anggota polis berusia 22 tahun itu hendak menyerahkan seekor kura-kura kepada seorang gadis yang ditemui di hadapan pasar raya berkenaan.

Sebaik sahaja kura-kura itu diserahkan kepada gadis terbabit, dua lelaki dipercayai rakan kepada adik anggota polis tersebut datang dan mengajak mangsa pergi ke belakang pasar raya tersebut.

Kedua-dua lelaki itu kemudian bertindak menumbuk mangsa kerana tidak puas hati kura-kura itu diserahkan kepada gadis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani berkata, mangsa yang bekerja di Hospital Setiu kemudian menghubungi abangnya yang merupakan seorang anggota polis berusia 26 tahun.

Bapa Francisca Peters Ditemui Mati Di Rumah Sewa

KUALA TERENGGANU, 12 April - Bapa penyanyi popular sekitar era 80-an Francisca Peters, ditemui mati di rumah sewanya di Taman Seri Dungun Isnin malam.

Mayat Lucian Gaberial Peter atau nama Islamnya Muhammad Gaberial Peter Abdullah, 78, ditemui dalam keadaan tertiarap dalam rumah sewanya itu oleh seorang rakan anaknya pada pukul 10.30 malam.

Rakan anaknya itu dikatakan pergi ke rumah Muhammad Gaberial Peter yang pernah bekerja sebagai wartawan akhbar New Straits Times sekitar tahun 70-an itu setelah diminta berbuat demikian oleh seorang daripada anak Muhammad Gaberial Peter.

Mayat Muhammad Gaberial Peter dihantar oleh Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Agama daerah Adnan Mohamad mengesahkan Muhammad Gaberial memeluk Islam sejak tahun 2007.

Mayat Muhammad Gaberial dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah kira-kira pukul 2.30 petang ini.



-- BERNAMA

RM211,955 Hasil Video di YouTube

GERMANTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelajar pergigian Universiti Temple di Philadelphia, AS, Rob Homayoon menyatakan dia sudah memperoleh pendapatan sebanyak AS$70,000 (RM211,955) sejak 2008 dengan menghasilkan klip video origami di laman YouTube di Internet, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Homayoon, 25, yang tinggal di sini, Pennsylvania menghasilkan klip video mengenai cara untuk membuat origami daripada kertas dari apartmennya.

Origami merupakan kaedah melipatkan kertas untuk menghasilkan pelbagai bentuk seperti burung.

Dia memperoleh pendapatan itu menerusi satu perjanjian dengan YouTube yang menjual iklan.

Menurutnya, dia memperoleh 80 peratus daripada jualan iklan dan Google yang memiliki YouTube memperoleh 20 peratus.

"Semasa (video) saya bermula, saya memperoleh AS$100 (RM302.85) dan saya berpendapat saya boleh menggunakannya untuk wang minyak saya. Kemudian ia meningkat kepada AS$400 (RM1,211) dan AS$600 (RM1,817) dan pada akhirnya saya memperoleh AS$1,000 (RM3,028) dan kemudian AS$2,000 (RM6,057).

"Salah satu cek saya mengandungi lima angka. Ia berlaku pada Disember lalu, empat bulan lalu," kata Homayoon.

Video klip Homayoon kini dimuat naik sebanyak 29.4 juta dan rangkaian klip videonya di YouTube mempunyai 64,000 pelanggan. - Agensi

'Usop Wilcha' Naik Angin Ada Pihak Ambil Kesempatan

PETALING JAYA: Pelakon Syed Mohamad Asri yang terkenal sebagai Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) kesal dengan perbuatan individu yang menubuhkan kelab peminat melalui Facebook menggunakan nama wataknya untuk memperdayakan orang ramai.

Syed Mohamad Asri atau nama komersialnya Shy8 berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba ada pihak menghubunginya bertanyakan mengenai pakaian yang dibeli melalui pengendali laman sosial itu sedangkan dia tidak tahu menahu apa-apa.

“Saya menerima kiriman e-mel dan panggilan telefon daripada peminat yang merungut tentang pakaian yang mereka beli kerana mereka sangkakan urus niaga itu dikendalikan oleh saya.

“Sedangkan saya tidak menubuhkan apa-apa kelab peminat apatah lagi mahu menghasilkan cenderamata menggunakan populariti saya dalam filem tersebut,” katanya kepada mStar Online, Selasa.

Dia diminta mengulas tentang perang mulut yang berlaku antara dia dengan seorang lelaki yang mengendalikan Kelab Peminat Facebook Usop Wilcha berikutan insiden berkenaan.


Shy8 atau Syed Mohamad Asri menengur individu yang dikatakan mengambil kesempatan terhadapnya menggunakan.

Pelakon yang popular dengan karakternya berkerusi roda dalam filem tersebut kesal dengan individu tersebut kerana mengambil kesempatan.

“Saya bukan marah mereka yang menumpang populariti Usop Wilcha untuk mencari rezeki itu kerana bagi saya ia bukan rezeki saya seorang.

“Tapi apa yang dikesalkan mereka membabitkan saya dalam urusan jual beli sehingga ada mesej saya terima tentang perkara-perkara yang saya sendiri tidak tahu.

Katanya, dia memberi kebenaran kepada individu tersebut untuk mengendalikan kelab peminat berkenaan tetapi tidak menyangka pula ia dijadikan batu loncatan untuk mengambil kesempatan.

Lebih menyakitkan hati katanya, individu tersebut turut menulis status yang bukan-bukan di dalam Facebook tersebut termasuklah menghinanya dengan perkataan yang kurang sopan.

“Saya suruh dia berhenti menulis status yang bukan-bukan yang boleh menimbulkan perspektif buruk masyarakat kepada saya.

Jelas pelakon itu lagi dia tidak mahu peminat-peminat Usop Wilcha terpedaya dengan perbuatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti itu.

Ketika ditanya tentang tindakannya dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada individu berkenaan sekiranya masalah tersebut masih berlarutan.

“Kita tengok dahulu, jika dia semakin melampau saya akan ambil tindakan dan perkara ini telah dibincangkan dengan pihak-pihak tertentu,” katanya yang dalam perancangan membintangi filem Usop Wilcha arahan Mamat Khalid.

Mak Nyah Malaysia Tinggalkan Suami Mat Salleh Kerana Disisih



LONDON – Sikap dingin suaminya, Ian Young menjadi punca mak nyah dari Malaysia, Fatine meninggalkan dia dua minggu selepas lelaki Inggeris berkenaan, Ian Young membantunya mendapatkan hak untuk menetap di Britain, lapor sebuah akhbar Daily Mail semalam.

Fatine, 38, akhirnya memutuskan untuk memberi penjelasan tentang punca perpisahan mereka selepas suaminya yang berusia 32 tahun itu mendakwa, dia ditinggalkan tanpa alasan setelah membelanjakan £12,000 (RM59,061) bagi membantu mendapatkan visa isterinya.

Fatine berkata, dia melakukan pengorbanan besar dengan berhijrah ke Britain dan tinggal dengan Young tetapi akhirnya, dia disisihkan lelaki itu.

Suami Fatine sebelum ini berkerja sebagai penyelenggara bangunan sekolah di Derby, England.

“Dia (Young) meminggirkan saya. Amat sengsara apabila lelaki yang anda cinta dingin terhadap anda. Saya berkorban segalanya demi dia,” kata Fatine.

Menurutnya, pada malam sebelum dia meninggalkan suaminya, mereka bergaduh besar.

Young kemudian bergegas meninggalkan kediaman mereka di Pear Tree, Derby.

“Dia meninggalkan saya tanpa memberikan saya sesen pun,” kata Fatine.

Suaminya sebelum ini memberitahu, dia terpaksa menganggur selepas diberhentikan dari tiga buah sekolah di Derby kerana tekanan ibu bapa yang marah dengan gaya hidup homoseks mereka.

Young turut kehilangan rumahnya dan pernah cuba membunuh diri dengan menelan sejumlah pil.

Bibit-bibit cinta pasangan itu bermula apabila Young berkenalan dengan Fatine semasa dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Malaysia. Pasangan itu pertama kali berbual di sebuah kedai kopi dan ketika itu, Young tidak tahu bahawa Fatine ialah seorang mak nyah.

Selepas mak nyah itu mendedahkan siapa dirinya yang sebenar, hubungan mereka terus mekar.

Young pernah menjalin hubungan cinta selama lapan tahun dengan seorang wanita tetapi memutuskan untuk menukar selera seksnya selepas bertemu Fatine.

Fatine kemudian berhijrah ke Derby dan pasangan tersebut berkahwin dalam satu majlis sivil di Pejabat Pendaftar Derby pada 2009.

Masalah mereka bermula apabila permohonan visa Fatine ditolak oleh Pejabat Dalam Negeri Britain.

Mereka terpaksa mengemukakan rayuan beberapa kali dengan menyatakan, Fatine boleh dipenjarakan jika dia kembali ke Malaysia kerana negara berkenaan melarang hubungan homoseks.

Bagi mengukuhkan alasan mereka, Fatine turut menyatakan, nyawanya terancam sekiranya dia pulang ke Malaysia kerana terdapat ugutan bunuh yang dibuat terhadapnya di sebuah laman web di negara itu.

“Kami terpaksa memohon visa sebanyak lima kali dan kosnya mencecah ribuan pound sterling. Saya pula berkerja sebagai penyelenggara sebuah sekolah kecil dengan gaji cuma £640 (RM3,160) sebulan,” kata Young sebelum ini.

Mengulas mengenai kenyataan suaminya itu, Fatine yang kini tinggal berasingan bersama seorang rakannya memberitahu, dia bukan berkahwin dengan Young semata-mata untuk mendapatkan visa.

“Saya menyintainya bukan kerana visa. Saya tiada rakan, tiada keluarga di Britain, saya terpaksa bergantung hidup sepenuhnya kepada suami saya. Namun, bagaimana kami boleh berbaik semula sedangkan dia (Young) pernah berkata perkara buruk terhadap saya,” kata Fatine.

Menurut mak nyah itu, dia sedang mencari pekerjaan untuk memulakan hidup baru di Britain.

Dia kini menyara hidup dengan menerima elaun pengangguran di negara Eropah itu. Nama lelaki Fatine ialah Mohammed Fazdil Min Bahari.

Ketika ditanya sama ada dia mengabaikan isterinya, Young mengakui perkara tersebut pernah berlaku.

“Saya mengaku saya mengabaikan Fatine apabila saya tertekan. Saya juga ingin memberitahunya bahawa kami boleh menempuh segala kesusahan bersama-sama tetapi dia tidak berminat untuk mendengarnya,” ujar Young.

“Saya kini cuba memulakan perniagaan sendiri. Ya, saya masih banyak berhutang tetapi saya cuba untuk bangun semula,” tambahnya. – Agensi

Pelanggan Akui Jamuan Patin RM13,000 Berpatutan

TEMERLOH, 12 April - Seorang pelanggan yang dilaporkan membayar RM13,000 bagi makan tengah hari termasuk hidangan ikan patin di sebuah restoran di sini baru-baru ini, Selasa mengakui harga itu berpatutan kerana ia adalah untuk 350 orang dan bukannya 50 orang.

"Lagipun, ikan patin yang kami makan itu adalah dari sungai dan saya tahu ianya memang mahal," katanya kepada Bernama hari ini bagi menjelaskan mengenai tanggapan yang kurang tepat bahawa harga yang dikenakan itu tidak munasabah.

Pelanggan itu berkata bahawa selain ikan patin, mereka juga makan udang galah dan ikan krai, sejenis ikan sungai yang harganya juga tinggi.

Menurut beliau, persepsi mengenai harga yang dianggap tidak munasabah itu timbul, mungkin kerana ada antara 350 orang yang turut makan pada hari itu tidak tahu nilai sebenar jenis-jenis ikan yang dihidangkan.

Seorang peniaga yang mempertikaikan dakwaan kumpulan yang mendakwa membayar RM13,000 itu, berkata pelanggan berkenaan perlu menunjukkan resit jumlah yang dibayar sebagai bukti.

Peniaga yang namanya disiarkan itu berkata dakwaan berkenaan secara tidak langsung boleh menjejaskan perniagaan dan industri ikan patin di Temerloh.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Amran berkata beliau menjual ikan patin muncung liar antara RM80 dan RM100 sepotong bergantung pada saiz, manakala ikan patin buah liar, berharga RM16 hingga RM28 sepotong dan ikan patin sangkar RM8 hingga RM10 manakala ikan jelawat dijual antara RM30 dan RM40 sepotong



-- BERNAMA

Monday, April 11, 2011

Bila Ucop Wilcha Ada Facebook



sumber

Ibu Suka Makan Kusyen Sofa



BRADENTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ibu kepada lima orang anak, Adele Edwards didapati mengalami sejenis gangguan pelik yang dikenali sebagai Pica kerana dia gemar memakan kusyen sofa.

Pica merupakan gangguan yang sering dialami oleh kanak-kanak dan ibu mengandung yang kekurangan nutrien tertentu. Ia boleh menyebabkan mereka suka memakan benda-benda seperti kapur tulis, duit syiling, bateri dan tanah.

Dia yang berasal dari Bradenton, Florida Amerika Syarikat (AS) dikatakan telah memakan kusyen selama 21 tahun. Adele dilihat cuba mendapatkan bantuan selepas masalahnya itu sudah tidak dapat dikawal.

"Sejak beberapa tahun lalu, saya sudah makan tujuh sofa. Saya membuka zip alas kusyen dan memakannya. Apabila sudah makan, saya sukar untuk berhenti. Kini, doktor memberitahu jika saya meneruskannya, ketagihan ini akan membunuh saya," katanya.

Adele mengakui tabiat peliknya itu berlaku kerana tertekan sewaktu ibu bapanya mahu bercerai ketika dia baru berusia 10 tahun. Kini, dia memakan kusyen sebanyak 15 kali sehari. Adele terpaksa mendapatkan rawatan terapi dan hipnosis demi menghilangkan ketagihan luar biasa itu. - Agensi

Ramai Janda Muda Di Perlis

Banyak Pasangan Muda Bercerai Di Perlis

KANGAR, 8 Dis (Bernama) -- Pasangan suami isteri yang berusia bawah 35 tahun banyak terbabit dalam kes perceraian di Perlis dan antara puncanya ialah mereka lebih mengutamakan nafsu dari ikatan perkahwinan kata Pengarah Pembangunan Wanita Perlis, Affendi Rajini Khan Selasa.

Menurutnya 460 kes perceraian didaftarkan di Perlis sepanjang tahun ini berbanding lebih 1,400 kes pernikahan bagi tempoh yang sama yang mana kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan bawah 35 tahun.

"Kebanyakan yang memohon cerai telah berkahwin antara lima dan 10 tahun dan kes itu telah menimbulkan masalah kepada masa depan anak-anak mereka," katanya selepas majlis pelancaran program Nur Bestari peringkat Parlimen Kangar yang dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya 68 pasangan telah rujuk semula setelah menyedari masa depan anak-anak mereka tidak menentu akibat perceraian itu.

Sementara itu, Md Isa ketika melancarkan program tersebut mengingatkan pasangan suami isteri sentiasa memikirkan kebahagiaan dan masa depan keluarga terutamanya anak-anak.

Katanya, perceraian akan membawa kemusnahan kepada institusi keluarga yang telah mereka bina.



-- BERNAMA

Pelanggan Tergamam Hidangan Patin RM13,000

TEMERLOH, 11 April - Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di sini terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000.

Menurut seorang daripada kumpulan itu yang enggan namanya disiarkan, beliau membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.

"Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar," katanya kepada Bernama Isnin.

Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.

"Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur," katanya.

Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh.

Bernama difahamkan ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram, dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya.

Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram, dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul.

Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak.

Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai.

Mereka yang tidak mempamerkan tanda harga boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun atau keduanya sekali, katanya.

-- BERNAMA

Sunday, April 10, 2011

Kekecohan rebut Tupperware di ceramah PM



Kekecohan berlaku di stadium tertutup MBKS malam tadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razal meninggalkan tapak perhimpunan ceramahnya kerana hadirin berebut cuba mendapatkan 'ole-ole' yang dibawanya - iaitu bekas makanan dan minuman berjenama Tupperware.

Ketika 2,000 orang beredar dari stadium itu, ratusan lagi mengerumuni pintu masuk untuk merebut bag 'ole-ole' yang diberikan secara percuma itu.

Bag itu mengandungi poster Najib dan sama ada sebuah bekas makanan atau minuman daripada jenama terkenal Tupperware.

Apabila keadaan menjadi tidak terkawal, beberapa pekerja terpakasa memindahkan kotak-kotak barangan itu daripada pintu masuk.

Jatuh tergolek

Sebaik sahaja kotak yang dibawa mencecah lantai, puluhan orang lagi akan menyerbu ke arah tersebut. Kebanyakan mereka adalah golongan berusia dan kanak-kanak yang terus mengoyakkan kotak itu dan merampas 'ole-ole' yang ada.

Dalam kekecohan itu, ramai yang jatuh. Seorang wanita tua dilihat tergolek di lantai tetapi terus berpegang erat kepada bag yang berjaya diambilnya itu.

Wartawan dan anggota polis yang berada di lokasi tercengang melihat kejadian yang tidak disangkakan dan ada yang menasihatkan orang ramai supaya bersabar menunggu giliran mendapat hadiah daripada BN itu.

Seorang hadirin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau datang apabila terbaca di akhbar mengenai program anjuran BN yang menjemput semua penduduk sekitar Kuching.

“Ada makanan dan hadiah percuma. Sesiapa pun akan datang,” kata lelaki pertengahan umur yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ditanya sama ada beliau datang untuk menyokong perdana menteri dan BN, lelaki itu berkata dia hadir untuk melihat wajah Najib secara dekat.

Seorang wanita tua pula berkata, beliau dan penghuni sebuah rumah pangsa dibawa dengan bas dari Jalan Ban Hock. Katanya, akibat kekecohan itu, dia gagal mendapat bag 'ole-ole' BN itu.

Sebelum majlis bermula, semua hadirin diberikan sehelai kemeja T 1Malaysia dan diminta menyarungkannya ketika itu juga. Hadirin juga diberikan burger dan air minuman botol.

sumber