Tuesday, April 19, 2011

'Kajol' sanggup mati pertahan imej lembut

KOTA BHARU: Penyanyi dikir barat moden yang terkenal di Kelantan, Mohd Hafiz Jafri, 24, atau lebih dikenali sebagai 'Kajol', tetap mempertahankan imej berperwatakan 'lembut' walaupun ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) kerana berpakaian tidak senonoh di sebuah ekspo, Jumaat lalu.

Malah Kajol sanggup mati daripada berubah menjadi lelaki sejati kerana beranggapan naluri wanita sudah sebati dengannya sejak beliau kecil lagi.
Click Here
“Saya tidak mampu untuk berubah dan sampai bila-bila saya akan terus begini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
‘Kajol’ ditahan penguat kuasa JHEAIK Jajahan Tanah Merah kerana kesalahan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ketika persembahan di Tanah Merah, kira-kira jam 10 malam dalam Ops Insaf.

‘Kajol’ turut meluahkan kekecewaan terhadap tohmahan dan sindiran masyarakat disebabkan penampilannya yang memakai pakaian wanita terutama selepas kisahnya ditahan mendapat liputan meluas akhbar.

"Saya manusia biasa dan tidak mahu terus terseksa. Saya sedar, saya seperti diharamkan di Kelantan dan daripada terus ditahan, lebih baik saya berhenti daripada membuat persembahan di Kelantan.

“Justeru, kepada semua peminat yang memberi sokongan setiap kali saya membuat persembahan di Kelantan, saya ucapkan ribuan terima kasih. Kita tidak akan berjumpa lagi di Kelantan," katanya.
‘Kajol’ dari suku Temiar Orang Asli Kuala Betis, Gua Musang, berkata, keputusannya itu tidak menjejaskan karier kerana akan terus menghasilkan album dan membuat persembahan di luar Kelantan.

“Sudah 11 tahun saya menjadi penyanyi dan seingat saya, sudah 25 album saya hasilkan. Persembahan pula tidak terkira kerana setiap bulan jadual persembahan saya memang padat," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia sudah menjalani pembedahan penukaran jantina, ‘Kajol’ enggan mengulas.

"Minta maaf, persoalan itu tidak dapat saya jawab kerana itu hal peribadi dan saya tidak akan dedahkan kepada sesiapa," katanya.

No comments:

Post a Comment