Tuesday, April 12, 2011

Bapa Francisca Peters Ditemui Mati Di Rumah Sewa

KUALA TERENGGANU, 12 April - Bapa penyanyi popular sekitar era 80-an Francisca Peters, ditemui mati di rumah sewanya di Taman Seri Dungun Isnin malam.

Mayat Lucian Gaberial Peter atau nama Islamnya Muhammad Gaberial Peter Abdullah, 78, ditemui dalam keadaan tertiarap dalam rumah sewanya itu oleh seorang rakan anaknya pada pukul 10.30 malam.

Rakan anaknya itu dikatakan pergi ke rumah Muhammad Gaberial Peter yang pernah bekerja sebagai wartawan akhbar New Straits Times sekitar tahun 70-an itu setelah diminta berbuat demikian oleh seorang daripada anak Muhammad Gaberial Peter.

Mayat Muhammad Gaberial Peter dihantar oleh Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Agama daerah Adnan Mohamad mengesahkan Muhammad Gaberial memeluk Islam sejak tahun 2007.

Mayat Muhammad Gaberial dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah kira-kira pukul 2.30 petang ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment