Thursday, April 21, 2011

Akaun tinggal RM10 saja

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah kerugian RM2,190.62 apabila ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) selepas menerima panggilan telefon mendakwa dia membuat transaksi di luar negara.

Mangsa berusia 41 tahun yang berasal dari Taman Midah, Cheras di sini, berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa pegawai Maybank Finance kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 12 April lalu berhubung penggunaan kad kreditnya di Jakarta, Indonesia.


Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa kad kreditnya digunakan sebanyak RM9,350 di negara itu dan apabila dia menafikannya, lelaki itu memaklumkan pihaknya mempunyai rekod transaksi serta memintanya menghubungi Bank Negara di talian 03 27826998 sambungan 2017.

“Apabila saya menghubungi nombor itu, seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Helen menjawab telefon dan dia mengesahkan penggunaan kad kredit saya di luar negara.


“Saya yang tertipu dengan helah sindiket itu kemudian mengikut setiap arahan mereka termasuk pergi ke mesin pengeluaran automatik (ATM) untuk menukar kata laluan akaun saya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Beliau berkata, ketika berada di mesin ATM, dia diminta menukar kata laluannya ke nombor kad pengenalannya sendiri sebelum diarah menghentikan sebarang transaksi dan dilarang memaklumkan kejadian berkenan kepada sesiapa pun termasuk polis bagi tempoh tiga hari kerana akan mengganggu siasatan BNM.

“Namun, saya yang bimbang dan sangsi dengan pertolongan Helen bertindak memaklumkan kejadian berkenaan kepada suami dan apabila memeriksa akaun saya seketika kemudian, kami mendapati hanya RM10 berbaki dalam akaun saya manakala jumlah RM2,190.62 sudah lesap.


“Kami cuba menghubungi nombor Helen dan lelaki yang mendakwa mewakili syarikat kewangan tempatan itu, tetapi gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- H.Metro

No comments:

Post a Comment