Thursday, April 21, 2011

17 tak jadi pergi umrah

PUTRAJAYA: “Mereka tidak sepatutnya menipu kami. Pulangkan semula wang kami,” kata Robiah Mat Darus, 49, yang menjadi mangsa sebuah agensi pelancongan selepas membayar sejumlah wang untuk menunaikan umrah.

Dia mewakili sekumpulan wanita yang terdiri daripada 17 orang dari Kampung Kuala Sanglang, Kedah, kebanyakannya ibu tunggal mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan terbabit berpejabat di Kajang, Selangor.


Robiah yang juga ibu tunggal berkata, setiap seorang membayar RM2,500 kepada agensi pelancongan itu pada Jun tahun lalu, namun pihak terbabit gagal membawa mereka menunaikan ibadat berkenaan.

Menurutnya, agensi itu menangguhkan perjalanan sebanyak tiga kali sehingga Disember tahun lalu, malah sehingga kini masih gagal menunaikan janji untuk membawa mereka menunaikan umrah.


“Kami diminta membayar RM2,500 atau RM3,500 setiap seorang manakala kos selebihnya akan ditanggung sebuah syarikat korporat yang ingin membiayai kos terbabit sebagai sebahagian daripada pembayaran zakat.


“Pada mulanya kami dimaklumkan akan berangkat pada Jun tahun lalu, namun beberapa hari sebelum berlepas kami dimaklumkan penerbangan ditangguhkan pada September.

“Tetapi, apabila tiba tarikh yang ditetapkan, sekali lagi agensi itu memaklumkan penerbangan ditangguhkan kerana tidak mendapat visa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.


Mereka sepakat memfailkan tuntutan kepada TTPM dan menghadiri perbicaraan untuk mendapatkan kembali wang yang sudah dibayar kepada agensi pelancongan berkenaan.

Selain mangsa daripada kumpulan berkenaan, beberapa individu lain turut datang ke sesi perbicaraan itu, namun tiada seorang pun wakil daripada syarikat terbabit.


Robiah berkata, semua mangsa bukan di kalangan orang senang, malah memang menaruh harapan tinggi untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


Malah, katanya, mangsa rata-rata bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap, malah datang menghadiri perbicaraan di TTPM Putrajaya dengan menaiki bas, semata-mata untuk mendapatkan kembali wang yang dibayar.


“Mereka sangat kecewa apabila impian berkecai kerana ditipu pihak tidak bertanggungjawab.


“Jadi, kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap agensi pelancongan ini yang banyak kali menipu orang ramai. “Kami tidak mahu ada lagi yang menjadi mangsa kerana kami dimaklumkan ramai yang sudah menjadi mangsa sebelum ini,” katanya.


Seorang pemuda, Mohd Ridzwan Dahari, 22, berkata dia juga menjadi mangsa penipuan agensi terbabit dan semalam adalah kali ketiga dia hadir ke TTPM kerana sebelum ini kes terpaksa ditunda beberapa kali, disebabkan wakil agensi pelancongan itu gagal hadir.


“Walaupun sudah beberapa kali perintah dikeluarkan, agensi itu masih gagal menghadirkan diri. Ini menyukarkan saya menuntut semula hak saya, malah merugikan masa saya yang terpaksa mengambil cuti.


“Saya juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi ini kerana dia sudah menipu ramai orang. Sekiranya tiada tindakan, saya percaya ramai lagi yang akan menjadi mangsa,” katanya.

-- H.Metro

No comments:

Post a Comment