Tuesday, April 26, 2011

MCA gesa rakyat pulaukan Utusan Malaysia

MCA menggesa rakyat Malaysia supaya memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mecadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' diutamakan. Parti itu mendakwa cadangan itu adalah untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata konsep 1Melayu, 1Bumi yang diilhamkan oleh akhbar milik Umno itu bertujuan menghukum masyarakat Cina kerana melaksanakan hak demokrasi mereka membuat pilihan semasa pilihan raya.

Dalam kenyataan medianya dalam bahasa Mandarin, lewat petang semalam, Loh berkata semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras perlu memulaukan alhbar berkenaan dan mempercepatkan lagi edaran Utusan Malaysia yang terus menjunam.

"Pendirian akhbar itu mempersendakan konsep pentadbiran Najib berhubung 1Malaysia dan cuba menyemai benih jahat di minda orang ramai. Konsep lapuk itu pasti dibidas oleh masyarakat antarabangsa.

"Adakah Utusan Malaysia mahu meneladani Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (yang satu ketika dulu) mengamalkan dasar apartheid dan pengasingan kaum?” soalnya.

Loh berkata Utusan Malaysia wajar diingatkan bahawa BN terdiri daripada 13 parti komponen yang mewakili pelbagai masyarakat berbilang kaum, justeru '1Melayu, 1Bumi' tidak baik bagi perikatan itu.

Paling penting katanya jika akhbar Melayu itu mahu dihormati setiap rakyat, ia harus komited terhadap konsep 1Malaysia dan membantu membina jambatan di kalangan rakyat pelbagai bangsa.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mencabar presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya mengenakan tekanan ke atas Umno supaya 'menegur' Utusan Malaysia berhubung artikel itu.

"Lakukannya Chua! Bagi tahu Umno supaya arahkan akhbarnya untuk menarik balik cadangan penubuhan '1Melayu, 1Bumi' ataupun MCA sepatutnya berundur dari BN,” kata Lim (kiri) dalam satu kenyataan.
Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit tiga hari lalu, berkata DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Zaini berkata pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi"

Thursday, April 21, 2011

17 tak jadi pergi umrah

PUTRAJAYA: “Mereka tidak sepatutnya menipu kami. Pulangkan semula wang kami,” kata Robiah Mat Darus, 49, yang menjadi mangsa sebuah agensi pelancongan selepas membayar sejumlah wang untuk menunaikan umrah.

Dia mewakili sekumpulan wanita yang terdiri daripada 17 orang dari Kampung Kuala Sanglang, Kedah, kebanyakannya ibu tunggal mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan terbabit berpejabat di Kajang, Selangor.


Robiah yang juga ibu tunggal berkata, setiap seorang membayar RM2,500 kepada agensi pelancongan itu pada Jun tahun lalu, namun pihak terbabit gagal membawa mereka menunaikan ibadat berkenaan.

Menurutnya, agensi itu menangguhkan perjalanan sebanyak tiga kali sehingga Disember tahun lalu, malah sehingga kini masih gagal menunaikan janji untuk membawa mereka menunaikan umrah.


“Kami diminta membayar RM2,500 atau RM3,500 setiap seorang manakala kos selebihnya akan ditanggung sebuah syarikat korporat yang ingin membiayai kos terbabit sebagai sebahagian daripada pembayaran zakat.


“Pada mulanya kami dimaklumkan akan berangkat pada Jun tahun lalu, namun beberapa hari sebelum berlepas kami dimaklumkan penerbangan ditangguhkan pada September.

“Tetapi, apabila tiba tarikh yang ditetapkan, sekali lagi agensi itu memaklumkan penerbangan ditangguhkan kerana tidak mendapat visa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perbicaraan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.


Mereka sepakat memfailkan tuntutan kepada TTPM dan menghadiri perbicaraan untuk mendapatkan kembali wang yang sudah dibayar kepada agensi pelancongan berkenaan.

Selain mangsa daripada kumpulan berkenaan, beberapa individu lain turut datang ke sesi perbicaraan itu, namun tiada seorang pun wakil daripada syarikat terbabit.


Robiah berkata, semua mangsa bukan di kalangan orang senang, malah memang menaruh harapan tinggi untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


Malah, katanya, mangsa rata-rata bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap, malah datang menghadiri perbicaraan di TTPM Putrajaya dengan menaiki bas, semata-mata untuk mendapatkan kembali wang yang dibayar.


“Mereka sangat kecewa apabila impian berkecai kerana ditipu pihak tidak bertanggungjawab.


“Jadi, kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap agensi pelancongan ini yang banyak kali menipu orang ramai. “Kami tidak mahu ada lagi yang menjadi mangsa kerana kami dimaklumkan ramai yang sudah menjadi mangsa sebelum ini,” katanya.


Seorang pemuda, Mohd Ridzwan Dahari, 22, berkata dia juga menjadi mangsa penipuan agensi terbabit dan semalam adalah kali ketiga dia hadir ke TTPM kerana sebelum ini kes terpaksa ditunda beberapa kali, disebabkan wakil agensi pelancongan itu gagal hadir.


“Walaupun sudah beberapa kali perintah dikeluarkan, agensi itu masih gagal menghadirkan diri. Ini menyukarkan saya menuntut semula hak saya, malah merugikan masa saya yang terpaksa mengambil cuti.


“Saya juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi ini kerana dia sudah menipu ramai orang. Sekiranya tiada tindakan, saya percaya ramai lagi yang akan menjadi mangsa,” katanya.

-- H.Metro

Akaun tinggal RM10 saja

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah kerugian RM2,190.62 apabila ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) selepas menerima panggilan telefon mendakwa dia membuat transaksi di luar negara.

Mangsa berusia 41 tahun yang berasal dari Taman Midah, Cheras di sini, berkata dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa pegawai Maybank Finance kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 12 April lalu berhubung penggunaan kad kreditnya di Jakarta, Indonesia.


Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa kad kreditnya digunakan sebanyak RM9,350 di negara itu dan apabila dia menafikannya, lelaki itu memaklumkan pihaknya mempunyai rekod transaksi serta memintanya menghubungi Bank Negara di talian 03 27826998 sambungan 2017.

“Apabila saya menghubungi nombor itu, seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Helen menjawab telefon dan dia mengesahkan penggunaan kad kredit saya di luar negara.


“Saya yang tertipu dengan helah sindiket itu kemudian mengikut setiap arahan mereka termasuk pergi ke mesin pengeluaran automatik (ATM) untuk menukar kata laluan akaun saya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Beliau berkata, ketika berada di mesin ATM, dia diminta menukar kata laluannya ke nombor kad pengenalannya sendiri sebelum diarah menghentikan sebarang transaksi dan dilarang memaklumkan kejadian berkenan kepada sesiapa pun termasuk polis bagi tempoh tiga hari kerana akan mengganggu siasatan BNM.

“Namun, saya yang bimbang dan sangsi dengan pertolongan Helen bertindak memaklumkan kejadian berkenaan kepada suami dan apabila memeriksa akaun saya seketika kemudian, kami mendapati hanya RM10 berbaki dalam akaun saya manakala jumlah RM2,190.62 sudah lesap.


“Kami cuba menghubungi nombor Helen dan lelaki yang mendakwa mewakili syarikat kewangan tempatan itu, tetapi gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- H.Metro

Gesaan batalkan cuti Deepavali, Wesak dibidas

Gesaan pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor agar cuti umum bagi Deepavali dan Hari Wesak dibatalkan dan dijadikan hari bekerja menimbulkan kemarahan masyarakat India yang menuntut kenyataan itu ditarik balik dan permohonan maaf dibuat.

Tan Sri William Cheng dilaporkan berkata 'terlalu banyak' bilangan cuti umum adalah tidak baik bagi dunia perniagaan.

Katanya, kerajaan perlu menimbangkan untuk membatalkan Deepavali dan Hari Wesak kerana hanya golongan 'minoriti' yang meraikan upcara berkenaan.

DAP dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka terkejut dengan pendirian seumpama itu dan melahirkan bantahan keras terhadap cadangan tersebut.

Naib pengerusinya, M Kulasegaran berkata penganut agama Hindu yang menyambut Deepavali dan peganut agama Buddha yang meraikan Hari Wesak bukan penduduk minoriti.

“Kedua-dua perayaan itu disambut oleh jutaan rakyat di negara ini,” kata Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat.

Katanya, menjadi hak masyarakat perniagaan dan majikan untuk menjadikan produktiviti sebagai keutamaan, namun golongan itu tidak seharusnya 'merompak' penganut agama Hindu dan Buddha daripada cuti umum mereka.

“Malah, tidak ada sesiapapun yang sepatutnya merompak mana-mana bangsa atau kumpulan daripada cuti umum yang telah digazetkan,” kata Kulasegaran sambil menambah majikan harus mencari jalan lain bagi meningkatkan produktiviti dan bukannya menarik balik cuti umum pekerja.

“Selain itu, cuti umum mengalakkan pertumbuhan ekonomi kerana lebih ramai yang akan melancong dan membanjiri pusat membeli-belah,” katanya.

Malaysiakini

Tuesday, April 19, 2011

3 ditahan kitar al-Quran jadi tisu tandas

KABUL: Tiga termasuk pengarah syarikat percetakan ditahan selepas pihak berkuasa menyiasat dakwaan kilang pengeluar kertas di Afghanistan kitar semula al-Quran menjadi tisu tandas, kata pejabat peguam negara semalam.

Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan membaling batu ke arah kilang di pinggir Kabul menyebabkan kilang itu rosak. Salinan al-Quran ditemui dalam kilang, kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai.
“Polis dan pejabat peguam negara bekerjasama menyiasat dakwaan menghina kitab suci dalam kilang itu,” kata jurucakap pejabat peguam negara, Amanullah Iman. “Tiga ditahan termasuk pengarah syarikat dan kami mengambil berat isu serius ini,” katanya.

Pembakaran salinan Quran oleh mubaligh Kristian di Amerika Syarikat turut mencetuskan protes di seluruh Afghanistan menyebabkan 24 maut termasuk tujuh kakitangan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu di perkarangan pejabat di utara bandar Mazar-i-Sharif. – AFP

Raul, KD boleh direjam: Ulama

JAKARTA: Pengakuan penyanyi Krisdayanti (KD) yang mengaku dirinya hamil empat bulan mendapat kecaman daripada ulama. KD baru menikah pada 20 Mac lalu dengan Raul Lemos tetapi sudah hamil empat bulan.

Pemimpin Front Pembela Islam (FPI) DKI Jakarta, Habib Selon berkata, perbuatan KD itu lebih buruk daripada mendedahkan aurat dan pergaulan bebas.


“Dalam Islam ada dua hukum. Pertama, jika dia hamil empat bulan sebelum bernikah, maka anaknya dipanggil anak zina dan ibu bapanya boleh direjam,” ujar Habib ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, jika kehamilan itu sudah berusia lebih daripada enam bulan, maka anak yang bakal lahir itu dikatakan anak haram. “Jadi, sekiranya dia membuat pengakuan seperti itu, maka nilailah sendiri,” tambahnya yang menentang keras penzinaan dan pornografi.


Sementera itu, KD mengaku dia sudah hamil empat bulan dalam sebuah tabloid wanita. Pengakuan itu dibuat kerana dia tidak mahu kehamilannya akan mendatangkan masalah kelak. Bekas suami KD, Anang Hermansyah tidak mahu memberi komen ketika diajukan isu itu kepadanya.


“Soal terkejut atau tidak, rasanya tidak wajar untuk saya memberi komen apa-apa,” kata Anang ketika dihubungi.

Penyanyi yang bercerai dengan KD pada November 2009 memberitahu dia mendapat tahu mengenai berita itu daripada media. Anang menambah dia turut berbahagia dengan kehamilan bekas isterinya itu.


“Soal anak itu khabar yang menggembirakan dan kehamilan itu kan baik,” katanya lagi. KD juga dikatakan tidak menghiraukan tanggapan masyarakat mengenai isu kehamilannya. Menurutnya, lebih baik dia mengakui hal itu daripada timbul cerita yang lebih buruk tentang dirinya kelak. KD dan Raul menikah 20 Mac lalu dan mengadakan resepsi perkahwinan mereka di Hotel Mulia, Jakarta Selatan lima hari kemudian. - Detik

Gadis Turki Islam pertama berbogel untuk Playboy

BERLIN - Selama ini, seorang gadis berusia 25 tahun berketurunan Turki yang menetap di sini, Sila Sahin menjadi contoh teladan tentang kelakuan baik wanita Islam moden dalam masyarakat berbilang budaya di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang merupakan seorang aktres yang membintangi drama telenovela Jerman, Bad Times disenangi ramai peminatnya dan membuatkan keluarganya berasa bangga.

Namun, langkah terbarunya mengejutkan para peminatnya dan turut menyebabkan mereka yang rapat dengannya naik berang.

Beraksi berahi untuk kulit majalah Playboy Jerman dengan satu payu daranya terdedah, Sila sengaja mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada keluarganya yang mengamalkan cara hidup Islam.

"Saya berbogel untuk Playboy kerana saya mahu bebas," kata Sila.

"Gambar-gambar ini merupakan bukti kebebasan saya daripada semua halangan yang terpaksa diikuti semasa zaman kanak-kanak saya," tambahnya.

Keluarganya, bagaimanapun, tidak dapat menerima perbuatan Sila dengan ibunya bertindak memutuskan perhubungan dengan aktres berkenaan.

"Ibu saya masih marah. Ia lebih sukar dengan datuk dan nenek saya, serta ibu dan bapa saudara saya," kata wanita jelita itu di laman web siri televisyen berkenaan.

Dia bagaimanapun, berjaya bercakap dengan ayahnya yang juga seorang pelakon.

Ayah Sila bimbang anak gadisnya akan dibenci bukan sahaja oleh masyarakat Turki di Jerman, tetapi oleh seluruh umat Islam akibat tindakannya.

Sila berkata, dia berbogel untuk majalah Playboy bagi menyeru wanita-wanita Islam yang selama ini hidup terkongkong dan tidak dibenarkan membuat pilihan, termasuk dalam menentukan calon suami serta keperawanan mereka, supaya bangkit untuk bersuara dan bertindak.

Tindakan Sila menjadikannya sebagai wanita Turki pertama yang berbogel untuk Playboy. Dia bagaimanapun kesal dengan tindakan keluarganya yang menyisihkan dirinya kerana isu tersebut.

Dalam satu wawancara, Sila merayu keluarganya supaya memahami punca dia membuat keputusan untuk bergambar tanpa seurat benang itu.

Aktres berkenaan turut merayu keluarganya supaya memaafkan dirinya.

"Saya berharap mereka (keluarganya) dapat memaafkan saya," kata Sila.

"Tolonglah terima saya semula," tambahnya. - Agensi